PETALING JAYA – Menjadi perdebatan pengguna media sosial sejak kelmarin berhubung kata-kata yang dikeluarkan seorang wanita mengenai kisah anak gadisnya yang berjaya mendapat pasangan hidup walaupun tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Video yang dimuat naik di laman media sosial menerusi akaun@killamiezam05, kedengaran kata-kata seorang ibu yang masih berbangga dengan anaknya kerana bakal mempunyai suami tidak lama lagi meskipun gagal meraih sebarang A dalam subjek SPM.
“Orang lain SPM dapat sambung belajar, anak saya lepas SPM dapat suami.
“Walaupun tak dapat A, tapi yang penting dapat suami,” ujar wanita tersebut.
Sehubungan itu, pelbagai reaksi diberikan orang ramai dan ada juga yang berpendapat bahawa pelajaran itu perlu diutamakan ketika usia muda serta tidak terburu-buru untuk berkahwin awal.
“Belajar dulu, penuhkan ilmu, tak belajar ilmu sains di universiti, belajar ilmu uruskan rumah dengan baik dahulu, bukan hanya fikir untuk kahwin awal, umur 17 tahun ini budak lagi,” kata seorang pengguna.
“Orang muda sekarang memang lebih bangga gagal SPM daripada cemerlang SPM,” tegur Syakirin.
Sementara itu, setelah menerima pelbagai teguran serta kecaman ramai, gadis tersebut akhirnya bersuara dan memaklumkan bahawa dirinya sebenarnya belum lagi mengambil peperiksaan SPM, malah bakal mendudukinya pada tahun hadapan.
“Sebenarnya saya ambil SPM tahun depan, bukan macam netizen sangka, tapi saya sudah bertunang atas persetujuan kedua-dua keluarga, rancang kahwin tahun depan tapi belum ada tarikh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE