PETALING JAYA – Pemergian penyanyi Adibah Noor masih dirasai ramai insan yang tidak putus memanjat doa dan menzahirkan perasaan sayu di atas kehilangan figura seni itu sejak malam kelmarin.
Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut berkongsi rasa kagumnya terhadap peribadi Allahyarham sepanjang mengenalinya sebagai rakan seperjuangan dalam industri seni.
Siti menyatakan arwah sebagai seorang insan yang sangat disenangi ramai selain tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu sama ada dengan rakan artis mahu pun peminat.
“Salam Takziah buat keluarga arwah Kak Adibah Noor.
“Sepanjang mengenalinya, arwah seorang yang sangat disenangi, suka berjenaka, tak lokek ilmu, merendah diri dan penghibur sejati.
“Saya selalu kagum apabila mendengar arwah bercakap, apatah lagi bila menyanyi.
“Bila dalam satu majlis, saya akan sentiasa ternanti-nanti nyanyian arwah… istimewanya arwah.
“Tapi kini arwah telah meninggalkan kita pulang ke negeri abadi. Kita juga akan pulang bila sampai masanya,” tulis Siti menerusi laman Instagramnya.
Penyanyi berusia 43 tahun itu juga tidak ketinggalan meminta orang ramai sedekahkan al Fatihah kepada Allahyarham.
“Marilah sedekahkan al-Fatihah kepada arwah yang pernah buat kita ketawa dan menyentuh hati kita dengan kebaikannya.
“Semoga arwah ditempatkan bersa insan terpilih di sana. Ya Allah ampunilah dia dan kasihanilah dia,” kongsinya lagi.
Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohamed Omar, 52, menghembuskan nafas terakhir pukul 7.40 petang Sabtu di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur selepas mengalami sesak nafas.
Selebriti serba boleh itu berjuang melawan penyakit kanser ovari tahap empat sejak tiga bulan lalu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat Permai pada jam 11.30 pagi Ahad.
Ratusan kenalan, rakan dalam industri dan saudara mara mengiringi perjalanan terakhir arwah.
Terdahulu, Allahyarham yang lebih dulu menyerlah di arena lakonan menerusi filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2004 menyertai program Gegar Vaganza musim lapan (GV8), tahun lalu. – KOSMO! ONLINE