PASUKAN Sabah FC berjaya meneruskan momentum cemerlang dengan meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam aksi Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang 2-1 untuk menerajui carta liga buat kali pertama musim ini.
Pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu kelmarin, dua tonggak import The Rhinos, Neto Pessoa dan Taiki Kagayama mencetak nama sebagai penjaring, manakala gol saguhati pasukan pelawat dilakukan oleh Manuel Hidalgo.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukannya telah mempamerkan rentak positif pada babak pertama, tetapi cerita berbeza ditampilkan pada separuh masa kedua dengan lebih banyak bermain secara bertahan.
“Apa yang pemain tampilkan pada babak pertama wajar dipuji kerana mereka cukup cemerlang dengan melakukan asakan bertali arus sehingga berjaya meraih dua gol awal sekali gus memberi kelegaan buat pasukan.
“Namun, situasi berubah pada babak kedua dan pasukan Pahang hampir menghukum kealpaan pasukan sehingga berjaya merapatkan jurang, tetapi kami bernasib baik apabila tiga mata berharga berjaya dikekalkan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, Kim Swee mengakui enggan terlalu kecewa selepas menyaksikan Pessoa gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa kedua yang hampir membuatkan pasukan berputih mata.
“Sepakan penalti ini bergantung dengan nasib, ada masa sepakan menerjah jaring, ada masa situasi sebaliknya berlaku. Saya harap siapa yang mengambil tanggungjawab tersebut selepas ini perlu lebih yakin,” katanya.
Selepas ini, skuad Sabah FC yang mengumpul 18 mata selepas mengharungi lapan perlawanan dijadualkan bertemu dengan Selangor FC pada aksi Liga Super minggu depan.