LONDON – Beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di kota London kelmarin sambil menuduh kerajaan Britain sebagai gagal menangani peningkatan kos sara hidup, lapor laman berita RT.
Kumpulan penunjuk perasaan berarak dari Portland Place ke Dataran Parlimen di ibu kota London, yang menyaksikan pemimpin Kongres Kesatuan Perdagangan (TUC), Frances O’Grady menyalahkan dasar penjimatan selama berdekad-dekad bagi lonjakan kos dan penyusutan gaji.
“Harga pelbagai barangan melonjak, namun gaji semakin rendah. Setiap orang yang bekerja perlu mendapat bayaran yang setimpal.
“Pekerja di Britain bergelut akibat penurunan gaji terburuk yang berlaku dalam sejarah moden.
“Jika kita tidak menerima gaji merentasi setiap sektor, kita akan berdepan dengan krisis demi krisis. Kenaikan kos sara hidup ini bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya akibat daripada kadar gaji yang sama selama 10 tahun,” kata O’Grady.
Menurut TUC, seorang pekerja biasa Britain telah hilang sebanyak £11,800 (RM63,520) dalam jumlah pendapatan bersih sejak 2008 disebabkan bayaran diterima tidak setimpal dengan kadar inflasi.
Rakyat juga kini perlu membayar lebih mahal bagi membeli minyak petrol dan diesel. Ia berlaku ketika inflasi di Britain mencecah sembilan peratus pada April lalu, rekod tertinggi dalam masa 40 tahun.
Harga makanan pula dijangka melonjak sebanyak 15 peratus pada musim panas kali ini. Sementara itu, beberapa laporan sebelum ini turut mendedahkan bahawa pendapatan boleh guna isi rumah di Britain akan susut pada kadar terpantas sejak penyimpanan rekod bermula pada 1950-an.
Pejabat Belanjawan Tanggungjawab pula meramalkan rakyat negara itu akan berdepan dengan penurunan paling ketara bagi kualiti hidup sejak 1956.
Justeru, tunjuk perasaan tersebut yang turut disertai para penyokong Parti Buruh, aktivis alam sekitar dan orang ramai menggesa kerajaan Perdana Menteri, Boris Johnson untuk melindungi penduduk bagi mengimbangi ‘kemiskinan bahan api’.
Sementara itu, di Ireland, beberapa buah bandar turut mengadakan protes serupa termasuk di Dublin, Galway dan Cork.
Harga makanan dan bahan api turut melonjak di Ireland di mana penduduk mengalami masalah kekurangan rumah dan krisis gelandangan. – Agensi