fbpx

Radiance Agrotech mahu jadi pengeluar daging lembu terbesar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ezman menunjukkan anugerah yang dimiliki Kumpulan di pejabatnya di Rawang baru-baru ini.

PETALING JAYA – Radiance Assets Berhad sebuah Kumpulan yang menjurus kepada bidang teknologi dan memiliki portfolio yang meluas dalam pelbagai segmen termasuk kewangan teknologi kini mahu mengembangkan sayap pelaburannya di dalam bidang agroteknologi.

Pelaburan bernilai RM1.1 bilion dalam bidang tersebut melalui anak syarikatnya Radiance Agrotech Sdn. Bhd. sebagaimana diumumkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Dr. Mohd. Ezman Zamani dalam satu temu bual bersama media baru-baru ini merupakan langkah tepat dalam menyediakan bekalan daging lembu secara berterusan untuk jangka panjang.

Syarikat mahu membawa teknologi tinggi dari Belanda dengan kos yang mahal agar ladang penternakan lembu bebas daripada penyakit kaki dan mulut (FMD) selain menghasilkan produk terbaik dan berkualiti tinggi untuk semua rakyat daripada pelbagai peringkat pendapatan.

“Kami ingin membantu Keluarga Malaysia mendapatkan produk pada harga yang berpatutan dan tidak membebankan mereka. Pada masa sama, objektif ladang lembu ini juga bukan setakat untuk pasaran daging di Malaysia, sebaliknya akan dipasarkan kepada negara jiran pada masa akan datang apabila kami mendapat sijil bebas FMD,” jelas beliau.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara ringkas mengenai Radiance Assets Berhad dan idea untuk meluaskan sayap pelaburan dalam bidang agroteknologi?
Mohd. Ezman: Radiance Assets adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan dipacu teknologi patuh syariah.

Terdapat pelbagai segmen di bawah Kumpulan meliputi bidang kewangan, perubatan, teknologi hijau dan yang terkini, kami berkembang kepada segmen agroteknologi. Kami bermula daripada peringkat asas hanya dari rumah dengan lima orang dan kini kakitangan telah berkembang kepada lebih 100 orang.

Kenapa pilih bidang agro­teknologi?
Negara sedang berdepan de­ngan masalah food security (ke­selamatan makanan), ia dilihat berada pada tahap kritikal yang mana tumpuan negara terhadap kadar peratusan bekalan import adalah tinggi.

Bayangkan jika bekalan import dihentikan, apa akan jadi kepada rakyat di negara ini? Ia adalah satu perkara yang sangat menakutkan dan ia mungkin akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Saya sebenarnya dilahirkan daripada keluarga bukan senang dan saya dapat merasai bagai­mana keluarga B40 yang mahu membeli daging dengan harga kira-kira RM50 sekilogram (kg).

Sekiranya mereka mahu membeli tiga kg daging, maka ia akan melibatkan kira-kira 10 peratus daripada gaji bulanan dan pas­ti­nya mereka tidak akan membeli daging.

Apa misi syarikat dalam bidang baharu ini?
Radiance Agrotech melabur sebanyak RM1.1 bilion dalam bidang berpotensi ini dan syarikat menubuhkan pusat ternakan lembu berteknologi yang mana ia bukan mengejar keuntungan untuk syarikat semata-mata.

Ia lebih bersifat serampang dua mata dalam usaha mem­bantu kerajaan menurunkan harga daging lembu di pasaran negara ini dalam membantu masyarakat berpendapatan rendah serta menampung keperluan pasaran ketika ini.

Pusat ternakan ini akan mewujudkan satu rantaian da­lam ekonomi bermula dari ternakan hingga penghasilan da­ging segar yang tidak melibatkan orang tengah sebagaimana yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Ia adalah ladang bersepadu apabila sistemnya bermula de­ngan ternakan, pembiakan dan persenyawaan, pemakanan, pe­nyembelihan, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran sama ada di dalam dan luar negara.

 

Boleh jelaskan lebih lanjut mengenai ladang lembu ber­teknologi tinggi itu?
Kami mahu terapkan penggunaan teknologi tinggi dalam ladang ini yang mana melalui sistem canggih itu, hanya dua orang di dalam kandang, manakala makanan, air dan najis akan diuruskan secara automatik serta tiada sentuhan manusia.

Teknologi tinggi itu akan di bawa dari Belanda kerana di negara berkenaan, sebuah syarikat berjaya menternak 30,000 lembu tetapi di Malaysia kalau syarikat itu menghasilkan 5,000 ekor lembu, ia dianggap sebagai sebuah syarikat pengeluar lembu terbesar di negara ini. Bagai­ma­na­pun dengan jumlah tersebut juga, ia tidak dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Oleh itu, kami mahu membawa masuk teknologi yang sudah terbukti walaupun ia menelan kos yang tinggi tetapi untuk jangka panjang ia berkaitan dengan kelestarian.

Apakah perancangan yang sedang dan terbaharu untuk dilaksanakan?
Kami menyasarkan untuk menghasilkan sehingga 50,000 ekor lembu dalam tempoh lima tahun akan datang dan muncul sebagai pengeluar utama daging di negara ini.

Sebagai permulaan, syarikat sedang me­ngendali­kan ladang yang menempatkan 400 ekor lembu di pusat ­penyembelihan di Bangi, Sela­ngor yang beroperasi sejak awal tahun ini.

Kami juga dalam peranca­ngan untuk membuka sebuah lagi cawangan di Johor tidak lama lagi.
Syarikat juga akan menawarkan segmen jualan produk siap daging lembu yang akan diedarkan di kedai-kedai Radiance Agrotech di bawah jenama ­RediMeat.

Ini akan mem­bo­lehkan kami menawarkan harga rendah dengan sasaran penurunan antara 10 hingga 20 peratus berbanding harga sekarang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI