fbpx

Polis Pulau Pinang tumpaskan sindiket pinjaman tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan barang kes yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Polis menumpaskan satu sindiket khianat termasuk menawarkan aktiviti pinjaman wang tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM1.914 juta dalam satu serbuan di kondominium mewah di Perda, Bukit Mertajam dekat sini Rabu lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, polis menahan 13 individu warga tempatan dipercayai ahli sindiket berusia antara 19 hingga 30 tahun.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan mendapati suspek terdiri sembilan lelaki dan empat wanita itu berasal dari Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Selangor serta Sabah.

“Serbuan dilakukan berkaitan jenayah khianat seperti simbah cat, ugutan jenayah dan kegiatan ah long, namun telah membawa kepada penemuan sindiket menawarkan pinjaman tidak wujud di kondominium ini.

“Kesemua suspek tinggal di rumah yang disewa sejak empat bulan lalu. Sindiket ini menjalankan kegiatan memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa yang mahu meminjam wang daripada mereka,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, dekat sini hari ini.

Menurutnya, modus operadi sindiket adalah mengiklankan pinjaman mereka menerusi media sosial seperti Facebook serta aplikasi WhatsApp.

“Sindiket kemudiannya akan menghubungi mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

”Hasil semakan setakat ini mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan ini membabitkan kerugian RM1.914 juta yang melibatkan kes di semua negeri dan terdapat enam kes dilaporkan di Pulau Pinang,” ujarnya.

Beliau memberitahu, 13 suspek itu merupakan ahli sindiket dan mereka berperanan untuk menghubungi mangsa bagi menawarkan pinjaman tidak wujud dan sindiket ini aktif di Pulau Pinang sejak tahun lalu serta berpindah randah dari satu tempat ke tempat lain. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI