PETALING JAYA – Tindakan seorang pemandu kereta melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera dirempuh dalam kejadian di Lebuh Raya SPRINT Kilometer 0.4 menghala Tol Damansara, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah membuat satu SJR melalui Ops Alkohol di lebuh raya tersebut pukul 2.10 pagi.
“Semasa sekatan dijalankan, polis telah menahan sebuah kereta Perodua Bezza namun, pemandu tersebut bertindak memecut meninggalkan lokasi SJR.
“Kereta tersebut telah merempuh penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki tempatan yang turut sama melalui SJR itu.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berusia 46 tahun cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, kes kini disiasat dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ujar beliau, pemilik kenderaan yang terlibat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Penolong Pengawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azaruddin Mokhtarzad di talian 011-1171 3436 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE