fbpx

Pekerja pembersihan songlap barang kemas RM13,000 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Polis berjaya memberkas seorang wanita yang disyaki mencuri barang kemas bernilai RM13,000 ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah rumah di Taman Rapat Setia Baru di sini, kelmarin.

Wanita warga asing berusia 35 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 1.50 petang semalam di sebuah rumah di Pasir Puteh, di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan kehilangan barang kemas dibuat kelmarin oleh pengadu yang mengesyaki ia diambil pekerja warga asing yang datang ke rumahnya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Satu operasi khas telah dijalankan bagi mengesan suspek sebelum berjaya diberkas dalam tempoh tidak lebih 24 jam selepas laporan diterima.

“Semasa tangkapan dilakukan, pihak polis telah merampas barang kes termasuk barang kemas disyaki milik pengadu bernilai RM13,000 selain resit-resit pajak gadai dan kedai emas,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI