FAKTOR tuah ternyata tidak menyebelahi Kedah Sunshine sepanjang tujuh aksi Sooka Netball Super League (NSL) 2022 apabila tersingkir daripada saingan dalam edisi seterusnya musim depan.
Sebelum musim bermula, Kedah Sunshine antara pasukan disebut-sebut mampu menjadi ‘pengacau’ kepada tiga gergasi bola jaring tanah air iaitu juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats, Johor Jewels dan Selangor Angels.
Malangnya, situasi itu tidak berlaku apabila Kedah Sunshine hanya berupaya mencatat satu kemenangan dan enam kekalahan sekali gus terperosok sebagai dua pasukan tercorot musim ini.
Goal shooter Kedah Sunshine, Siti Aishah Abdul Rahim tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan mereka terutama suku pertama dan kedua ketika tewas 49-66 kepada Perak Phoenix di Stadium Juara, Bukit Kiara kelmarin.
“Saya masih bangga dengan kawan-kawan kerana kami sudah cuba bermain sehabis daya walaupun kami duduk di tangga ketujuh sekarang.
“Sebenarnya prestasi kami tak menurun, cumanya kami ada 15 pemain. Setiap minggu kami akan membuat penggiliran pemain kerana Kedah turunkan ramai pemain muda.
“Sudah tentu kemenangan paling utama, tetapi kami cuba juga bagi peluang kepada pemain-pemain baru untuk bermain di NSL sebagai pendedahan berguna buat mereka,” katanya.
Ketiadaan tonggak pertahanan, Noor Maslydia Mashor pada pertengahan musim selepas mengalami kecederaan serius patah tangan kiri dilihat antara faktor kepada penurunan prestasi Kedah Sunshine.