KOTA BHARU – Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal selepas dipercayai diberi dadah jenis methamphetamine tidak menyangka keadaan anaknya itu berubah selepas dihantar pulang oleh sepupunya petang kelmarin.
Ibu mangsa yang berusia 36 tahun berkata, dia pada awal tidak mengetahui sepupunya itu membawa keluar anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu kira-kira pukul 2 petang.
Menurutnya, dia telah keluar mencari anaknya itu sebelum lelaki itu menghantar kanak-kanak tersebut pulang kira-kira pukul 5 petang.
“Melihat kepada keadaan anak yang letih dan pucat, saya terus menidurkannya. Ketika sedang tidur, saya dapati dia sering terkejut beberapa kali dan mukanya bertambah pucat.
“Kira-kira pukul 1 pagi semalam, saya melihat keadaan anak saya semakin lemah seperti tidak bernafas. Saya mengesyaki dia lemas di sungai kerana keadaannya terlalu lemah selepas dihantar oleh suspek,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Menurutnya, dia yang berasa tidak sedap hati terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut kira-kira pukul 5 pagi.
Katanya, luluh hati apabila mendapat tahu keadaan anak bongsunya itu disebabkan oleh dadah.
“Saya mengesyaki perbuatan ini dilakukan oleh sepupu yang juga bapa saudara anak saya ketika membawanya keluar dalam tempoh tiga jam.
“Sebelum ini, dia tidak pernah membawa anak saya keluar meskipun kerap datang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, anak bongsunya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan keadaannya kini dilaporkan masih lagi kritikal. – KOSMO! ONLINE