Saudara pengarang,
Sebagai seorang pengguna kenderaan lama, saya tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak agar kerajaan melupuskan kenderaan lama.
Ini kerana bagi saya, cadangan itu bukan idea ‘bernas’ untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.
Bagi saya kesesakan yang berlaku bukan kerana lambakan kenderaan lama, tetapi sikap masyarakat kita yang tidak suka menggunakan pengangkutan awam.
Bagaimanapun, ada sebabnya kenapa mereka tidak suka menggunakan pengangkutan awam, ini mungkin kerana sistemnya tidak lagi menyeluruh serta membataskan pergerakan orang ramai.
Justeru, kerajaan perlu menyelesaikan terlebih dahulu isu pengangkutan awam.
Perkasakan sistem pengangkutan awam terutamanya di Lembah Klang, agar rakyat boleh ke sana sini dengan pengangkutan awam.
Baharulah, tiada lagi kesesakan teruk terutamanya pada waktu puncak.
Pada masa sama, penghapusan kenderaan lama juga beerti ‘menambahkan’ hutang baharu di bank.
Di zaman barang semua mahal ini, saya yakin tidak ramai yang mampu menukar kereta baharu setiap 10 tahun terutamanya bagi golongan B40.
Masih banyak lagi duit yang kami perlu gunakan, bukan kami bekerja untuk menjadi ‘hamba bank’.
Pak Muda Vintage,
Sentul, Kuala Lumpur