SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak ganas dengan menendang dan membaling objek dipercayai batu ke arah dua ekor kucing dalam kejadian di kaki lima bangunan premis di Taman Semeling Maju, Bedong dekat sini pada Sabtu lalu.
Suspek yang berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Pengkalan Merbok, Bujang, Merbok dekat sini pada pukul 1.29 petang tadi.
Terdahulu tular rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan tindakan suspek melakukan keganasan terhadap dua ekor kucing.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, tangkapan tersebut dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki selepas melihat perbuatan tidak bermoral suspek menerusi rakaman CCTV di tempat kerjanya pada semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 1.09 pagi, Sabtu lalu yang mana suspek mendakwa mengalami gangguan emosi kerana tidak bekerja.
“Temu bual dengan ahli keluarga suspek pula memberitahu lelaki itu sebelum ini merupakan seorang pencinta kucing dan banyak memelihara haiwan tersebut di rumahnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, susulan kejadian itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri telah bertindak menyelamatkan kucing-kucing tersebut dan dibawa ke jabatan untuk rawatan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE