BANGKOK – Seorang lelaki di Thailand nekad mencuri sebilangan rantai emas bernilai 2 juta baht (RM249,603) dari sebuah kedai emas di daerah Phra Nakhon, Bangkok, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ketika kejadian, suspek memasuki premis tersebut dan mengeluarkan pistol lalu mengacukannya ke arah kakitangan dan pelanggan.
Pemilik kedai, pekerja dan pelanggan bertindak melarikan diri ke sebuah bilik di belakang kedai itu.
Perompak itu kemudian mengambil sebilangan rantai emas lalu dan melarikan diri dengan menaiki motosikal. Dua rantai emas yang tercicir ditemui di kaki lima jalan di luar kedai berkenaan.
Polis menggunakan rakaman sistem televisyen litar tertutup untuk menjejaki suspek sebelum berjaya menahannya kelmarin.
Mereka kemudian mengiringinya untuk melakonkan semula jenayah tersebut selaras dengan prosedur undang-undang di Thailand.
Polis berkata, lelaki itu mengaku merompak kedai emas kerana tertekan akibat kerugian mata wang kripto.
Lelaki itu adalah antara orang yang terjejas akibat krisis mata wang kripto yang melanda dunia sekarang ini.
Kelmarin, mata wang Bitcoin menurun di bawah AS$20,000 (RM88,030) seunit buat kali pertama sejak Disember 2020. – Agensi