fbpx

Kumpulan bersenjata bunuh 20 orang awam di Mali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan askar Perancis mengadakan latihan di pangkalan tentera Menaka, timur laut Mali. - AFP

BAMAKO, Mali – Kumpulan bersenjata membunuh sekurang-kurangnya 20 orang awam dalam serangan ke atas beberapa buah kampung dekat Gao di utara Mali, manakala seorang askar pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) maut akibat letupan periuk api di rantau bergolak berkenaan.

‘Penjenayah pengganas’ membunuh sekurang-kurangnya 20 penduduk awam di dalam beberapa buah pondok di kawasan penempatan Anchawadj Sabtu lalu, kata seorang pegawai kanan polis yang meminta identitinya dirahsiakan.

Seorang pegawai tempatan menyalahkan kumpulan militan Islam berhubung serangan itu dan berkata, 24 orang terbunuh sambil menambah, pembunuhan kejam itu berlaku di Ebak, sekitar 35 kilometer ke utara Gao.

“Situasi di Anchawadj amat membimbangkan dengan penduduk awam melarikan diri kerana takut keganasan akan merebak,” tambahnya.

Dalam pada itu, seorang askar pengaman PBB terbunuh kelmarin akibat terpijak periuk api semasa rondaan di Kidal, utara Mali, kata El Ghassim Wane selaku ketua pasukan pengaman PBB,  MINUSMA dalam satu kenyataan di laman Twitter.

Seorang lagi pegawai MINUSMA memberitahu agensi berita AFP bahawa askar pengaman yang terkorban adalah daripada kontinjen Guinea.

Setakat ini, belum ada pengesahan serangan itu dilakukan oleh kumpulan militan tetapi pejuang-pejuang yang mengaku taat setia sama ada kepada rangkaian Al-Qaeda atau Daesh bergerak aktif di rantau itu.

Rantau Gao menjadi semakin tidak stabil dan ganas sejak kumpulan pemisah Tuareg bangkit menentang kerajaan Mali dalam tahun 2012.

Pejuang Al-Qaeda dan Daesh mengambil kesempatan daripada pemberontakan untuk melancarkan serangan mereka sendiri dengan mengancam untuk menawan ibu kota Mali, Bamako sehinggalah tentera Perancis mengusir mereka pada 2013. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI