BALIK PULAU – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak agar tidak membandingkan dirinya dengan Datuk Zuraida Kamarudin yang kini berhijrah menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan, beliau mengambil keputusan menyertai Bersatu sebelum ini bukan kerana paksaan sesiapa.
”Tidak perlu dibandingkan saya dengan orang lain (Zuraida) kerana apabila saya pilih Bersatu ini bukan paksaan, saya menyertai Bersatu kerana dekat dengan diri saya yang mahu parti yang progresif dan inklusif kepada semua.
”Bersatu lakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu pertahankan parti bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya akan beri tenaga dan sumbangan untuk kukuhkan Bersatu,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik akan membuatkan parti itu diterima rakyat pada pilihan raya nanti.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau juga bersedia untuk bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu.
”Saya telah lakukan sedaya upaya untuk bangunkan Gombak sebelum ini. Saya serahkan kepada parti untuk membuat keputusan, saya ahli biasa sahaja dan jika dipilih saya bersedia bertanding di mana-mana sekalipun termasuk di Permatang Pauh.
”Keputusan untuk bertanding di mana -mana kerusi bukan saya yang tentukan, saya akan patuh kepada keputusan parti. Spekulasi akan kembali menyertai PKR hanya spekulasi semata-mata,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE