GEORGE TOWN – Polis mengesahkan kejadian membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang cedera diserang seorang lelaki Jumaat lalu tidak bermotifkan politik atau dendam.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kejadian di kawasan parkir di sebuah restoran di Tanjung Bunga itu sebaliknya berlaku secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca akibat perselisihan faham.
”Suspek seorang lelaki warga asing berusia 60 tahun itu juga dikatakan tidak mengenali mangsa dan dia yang ditahan reman selama dua hari lalu telah dibebaskan semalam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam pada Jumaat lalu, Jagdeep dilaporkan terjatuh selepas seorang lelaki yang datang menghampirinya didakwa telah menolak sehingga mengalami kecederaan pada pergelangan kaki kiri.
Susulan kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun itu kini masih dirawat di sebuah hospital swasta di sini.
Menurut Mohd. Shuhaily, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
”Siasatan juga dijalankan sama ada suspek ketika kejadian berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya,” jelasnya semasa kejadian suspek dan mangsa berada bersama ahli keluarga masing-masing.- KOSMO! ONLINE