PETALING JAYA – Perlu bergaji RM3,500 untuk hidup selesa sebagai orang bujang di bandar.
Itu antara pendapat orang ramai berhubung pendapatan yang wajar diperolehi bagi memiliki kehidupan yang selesa di bandar pada ketika ini.
Perkara tersebut dibincangkan netizen apabila seorang pesohor Twitter dikenali sebagai @brgsjks mengutarakan soalan tersebut di Twitternya hari ini.
“Kalau nak kerja dan menetap di Kuala Lumpur, berapa gaji yang dikira okey? Maksud okey ialah tidak perlu ikat perut, cukup makan dan boleh buat simpanan untuk kecemasan,” soalnya.
Menjengah di ruangan komen, ramai pengguna berpendapat kos sara hidup kini semakin tinggi sehingga menyebabkan seorang individu bujang perlu berpendapatan RM4,000 ke atas bagi menikmati kehidupan yang selesa di kawasan bandar.
Rata-rata juga bersetuju, pasangan berkahwin perlu mempunyai jumlah pendapatan sekurang-kurang RM8,000 bagi pasangan yang mempunyai seorang anak.
“Sejujurnya, perlu gaji RM4,000 baru rasa selesa untuk orang bujang yang perlu menyewa, pakai kereta dan berulang ke tempat kerja naik kereta. Sekarang pula semua benda mahal, sangat terasa dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang,” kata If.
“Minimum RM3,5000 untuk selesa dekat Kuala Lumpur. Dah kahwin RM5,500 minimum individu. Campur suami isteri RM11,000 untuk selesa dan boleh menyimpan,” kata Zieyzul.
“Bujang minimum RM4,500, kahwin tak ada anak kena ada RM6,000 ke atas, dah ada anak seorang kena ada RM8,500,” kata Zal.
“Dulu pekerjaan pertama gaji RM2,300, bujang. Masih cukup dan boleh simpan RM500. Tapi kena pergi kerja naik motosikal,” kongsi Kerol. – KOSMO! ONLINE