TURIN – Penyerang sensasi Serbia, Dusan Vlahovic mengakui tidak kesal dengan keputusan untuk menyertai kelab Juventus pada jendela perpindahan Januari lepas meskipun mendapat tawaran daripada beberapa pasukan utama Eropah yang lain.
Difahamkan, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal menjadi salah satu kelab yang serius untuk menandatangani khidmat Vlahovic daripada Fiorentina sebelum Juventus mengesahkan perpindahan dengan nilai sebanyak £62 juta (RM333.7 juta).
Kata Vlahovic, sebaik sahaja pengurusan Fiorentina memberi lampu hijau untuk berbincang dengan mana-mana kelab pada Januari, hanya Juventus yang menjadi pilihan dan tidak pernah berminat untuk menyertai pasukan lain.
“Saya hanya berbincang dengan ejen peribadi bahawa saya hanya mahu berhijrah menyertai Juventus pada jendela perpindahan lepas dan perkara itu tidak pernah saya bincangkan dengan individu lain.
“Juventus antara kelab terbesar Eropah dan sudah tentu saya sangat bangga dapat menyarung jersi ini sepanjang tempoh enam bulan dan berharap dapat mengecap kejayaan bersama pada masa akan datang,” katanya.
Vlahovic berjaya mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri sejak berhijrah ke The Old Lady apabila menjaringkan sembilan gol dalam 21 perlawanan meskipun gagal menjuarai sebarang trofi pada musim lepas.
Arsenal pula masih terdesak untuk memburu penyerang berkualiti selepas kehilangan khidmat dua pemain senior, Pierre-Emerick Aubameyang ke Barcelona dan Alexandre Lacazette (Lyon) dengan bintang Manchester City, Gabriel Jesus menjadi sasaran. – AGENSI