fbpx

Ducati nafi bakal bawa masuk Joan Mir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIR dikaitkan dengan penghijrahan menyertai Ducati selepas Suzuki membuat keputusan meninggalkan saingan MotoGP musim depan. – AFP

SACHSENRING, Jerman – Pa­sukan Ducati menafikan khabar angin yang mengatakan juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir akan menyertai pasukan utama mereka musim depan selepas Suzuki bertindak meninggalkan saingan tersebut pada 2023 nanti.

Minggu lalu, pasukan KTM membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan berjaya menandatangani pelumba Ducati, Jack Miller musim depan dengan kontrak dua tahun sehingga 2024.

Ketiadaan Miller menimbulkan tanda tanya siapa akan menjadi rakan sepasukan Francesco Bagnaia meskipun beberapa nama di­kait­kan akan me­ngisi kekosongan tersebut antaranya Jorge Martin dan Enea Bastianini yang mula cemerlang ketika ini mengemudi jentera Ducati GP21.

Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti mengakui tiada sebarang perbincangan dibuat oleh pasukannya terutama membincangkan mengenai Mir untuk menyertai Ducati.

Tegasnya, keputusan untuk membawa pelumba baharu mu­sim depan terutama membincangkan masa depan Bastianini dan Martin akan dibuat pada Ogos nanti.

“Seperti yang kami katakan, pasukan Ducati akan mengambil sedikit masa mungkin menunggu sehingga perlumbaan kedua pada Ogos untuk menilai secara keseluruhannya.

“Sasaran kami adalah untuk membincangkan masa depan Bastianini dan Martin bersama kami pada tahun depan. Saya rasa kami telah mencapai sasaran tersebut dan kini kami akan menentukan siapa akan menyertai pasukan utama.

“Kami mendengar khabar angin mengenai Mir, dia seorang pelumba yang hebat, tetapi kami tidak pernah meng­hubunginya. Jadi, saya harap dengan kenyataan ini dapat menutup sedikit gosip mengenai pelumba baharu yang akan muncul.

“Saya rasa kami mempunyai ramai pelumba yang kompetitif bersama Ducati, jadi kami ha­nya perlu membuat pilihan yang tepat,” kata Ciabatti.

Dalam pada itu, Ciabatti turut mengesahkan bahawa pelumba Perancis, Johann Zarco kekal bersama pasukan Pramac Ducati pada musim 2023. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI