JOHOR BAHRU – Sebuah bas kilang yang membawa sembilan orang pekerja terbabas dan terlibat dalam kemalangan di susur Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kemalangan itu dilaporkan berlaku pada pukul 5.30 pagi.
Menurut beliau, bas tersebut sedang dalam perjalanan ke Singapura dari Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.
“Bas kilang tersebut telah hilang kawalan sebelum merempuh batuan konkrit jambatan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
“Pemandu bas bersama lima penumpang kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk rawatan lanjut manakala empat penumpang lain tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE