IPOH – Seramai 16 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dalam perjalanan ke Terminal Bas Meru Raya, merempuh besi penghadang tol di Plaza Tol Jelapang arah selatan, di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 3 petang itu menyebabkan empat mangsa cedera ringan dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, nahas berlaku ketika bas dari Pulau Pinang itu keluar melalui Plaza Tol Jelapang untuk ke Terminal Bas Meru Raya.
“Bas berkenaan merempuh besi penghadang tol menyebabkan cermin hadapan kenderaan itu pecah selain remuk di beberapa bahagian.
“Seramai 16 penumpang berada dalam kenderaan itu melibatkan enam lelaki dan 10 wanita. Empat mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya. -KOSMO! ONLINE