BANDAR BAHARU – Seramai 83 penduduk terjejas akibat banjir kilat yang melanda mukim Selama, Relau dan Sungai Batu di sini pada petang ini.
Kawasan tersebut dinaiki air selepas berlaku hujan lebat lebih dua jam bermula pukul 4 petang tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Keda Sungai Tengas dalam mukim Selama pada pukul 8 malam.
“PPS tersebut pada masa ini menempatkan 15 mangsa daripada empat keluarga dari kampung Sungai Tengas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, beberapa lokasi yang dinaiki air di mukim Relau dan Sungai Batu semakin surut dengan keadaan kembali pulih. – KOSMO! ONLINE