fbpx

ASP, Koperal polis dituduh seludup 119 migran warga Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai polis berpangkat ASP antara lima yang dituduh menyeludup 119 migran warga Myanmar di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan anggota berpangkat Koperal serta tiga lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyeludup 119 migran warga Myanmar di perairan Kuala Kedah dekat sini pada bulan lalu.

Tertuduh ialah ASP Mohamad Faizal Ahmad Zaki, 37, dan Koperal Mohd. Razin Razali, 32, dan mereka bertugas di E6 Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Sementara tiga lagi tertuduh ialah Anas Hafizin Ahmad, 37, yang merupakan polis bantuan di sebuah agensi kerajaan; Muhamad Aslam Osman, 29, bekerja sendiri dan Ibrahim Dahamid, 38, seorang nelayan.

Kesemua mereka mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dihadapi dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali, bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Faizal dan Mohd. Razin didakwa sebagai pegawai awam secara bersama melakukan penyeludupan 119 migran warga Myanmar pada kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika dengan daratan Kuala Kedah kira-kira pukul 9.30 malam, 24 Mei lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 26B(d) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau selama tempoh tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan sebat.

Bagi tiga lagi tertuduh iaitu Anas Hafizin, Muhamad Aslam dan Ibrahim mereka juga didakwa atas kesalahan menyeludup kesemua migran tersebut di lokasi dan masa sama dengan pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI