fbpx

Angkasa meterai MoU bersama koperasi Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis menandatangani MoU antara Angkasa dan IFFCO di Hotel Melia Sevilla di Seville, Sepanyol baru-baru ini.

PETALING JAYA – Malaysia meterai memorandum persefahaman kerjasama (MoU) menerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) selaku badan apeks gerakan koperasi Malaysia dengan koperasi terbaik dunia, The Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO).

Kerjasama itu bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada gerakan koperasi di kedua-dua buah negara dalam industri pertanian dan asas tani serta perladangan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar yang menyaksikan pemeteraian MoU berkata, memorandum kerjasama itu akan membantu usaha kerajaan untuk memperkasa sektor pertanian.

Selain itu katanya, ia turut membantu pengusaha pertanian khususnya koperasi serta memastikan kualiti dan hasil pertanian negara seiring dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

“Melalui perjanjian yang telah dimeterai secara dasarnya Angkasa bersetuju untuk mengimport baja nano ini dan mengadakan ujian awal penggunaannya di tanah pertanian yang telah dikenalpasti.

“Usaha ini merupakan langkah ke hadapan khususnya dalam memastikan kelestarian alam semulajadi kerana tiada komponen kimia digunakan dalam pembuatan baja nano ini,” katanya.

Jelasnya, pihak IFFCO telah memberi jaminan bahawa penggunaan baja nano akan membantu mengurangkan pencemaran dan pada masa yang sama dapat membantu meningkatkan input pertanian.

“Sesuai dengan 100 tahun tertubuhnya gerakan koperasi di negara ini, peranannya harus diperluas yang mana bukan sahaja terlibat dalam perkhidmatan kredit dan pendidikan, malah lain – lain sektor berimpak tinggi khususnya agromakanan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dan juga ekonomi negara,” ujarnya.

MoU itu dimeterai sebagai salah satu agenda lawatan kerja rasmi beliau yang mengetuai delegasi koperasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Ikatan Koperasi Antarabangsa, ICA Elective General Assembly dan Persidangan “Cooperatives: The Moment Is Now!” 2022 di Hotel Silken Al-Andalus, Seville, Sepanyol pada 19 hingga 22 Jun 2022.

Sementara itu, Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama antara koperasi dengan koperasi di seluruh dunia akan terus diperluas dan diperkukuh menerusi Angkasa sebagai gerbang perhubungan perdagangan dua hala bagi sektor koperasi.

“Angkasa bertindak sebagai pemudah cara sesuai dengan peranannya sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang menyatu dan mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa selaras dengan Aspirasi Koperasi Malaysia dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 serta Dasar Keusahawan Nasional (DKN) 2030,” katanya.

Terdahulu, MoU itu ditandatangani Abdul Fattah dan Pengarah Pemasaran IFFCO, Yogendra Kumar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI