fbpx

Adegan berpelukan Sharnaaz, Jebat Jayden runtun hati netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI dua beranak, Sharnaaz dan Jebat yang meruntunkan hati netizen.

PETALING JAYA – Aksi berpelukan antara pelakon Sharnaaz Ahmad dengan anak tunggalnya, Jebat Jayden selepas dibebaskan daripada tahanan reman polis hari ini memancing emosi netizen yang rata-rata terharu melihat aksi dua beranak itu.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya, Sharnaaz atau mesra disapa Mamu melepaskan rindu sambil memeluk erat dan berkali-kali mencium pipi anaknya selepas tiga hari berada dalam tahanan.

“Saya okey. Insya-Allah. Baba (panggilannya) sayang awak,” tulis Sharnaaz.

Perkongsian penuh kasih sayang antara pelakon berusia 37 tahun dengan anaknya turut mendapat kata-kata sokongan daripada rakan -rakan artis yang meninggalkan komen positif kepadanya terhadap apa yang berlaku.

“Semoga tabah. Kau sahaja tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kami sentiasa mendoakan kau!” ujar pelakon Fizo Omar.

“Baba dan Jayden kuat! Semoga sentiasa di bawah lindunganNya,” ujar pelakon Siti Elizad.

“Mamu! Semoga semuanya baik-baik belaka,” pinta penyanyi dan juga pelakon Shiha Zikir.

Sementara itu, netizen turut tersentuh apabila melihat kesedihan yang terpancar pada wajah Jebat ketika memeluk dan mencium bapanya.

“Nampak Jebat rindu babanya,” kata seorang netizen.

“Kesian Jebat. Baba kuat, Jebat sudah tentu kuat juga ya. Semoga dipermudahkan urusan,” komen seorang lagi peminatnya.

“Tengok muka Jebat, sedih sangat rasanya,” kata seorang pengguna Instagram.

Terdahulu, Sharnaaz dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tiga hari direman susulan kes pukul di sebuah kondominium di Segambut pada Khamis lalu.

Sharnaaz dalam kenyataannya kepada media menegaskan dia tidak sesekali akan melakukan tindakan bodoh yang boleh menjatuhkan nama sendiri dan keluarga.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang kejadian tersebut, Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad itu bagaimanapun memberikan banyak respons memandangkan kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI