KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak memberi kerjasama dan enggan berbincang mengenai perkara berkaitan Memorandum dan Artikel Pertubuhan syarikat berkenaan dengan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Bekas Setiausaha di Bahagian MKD, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa ketika memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Tinggi berkata, Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB tidak sama dengan syarikat di bawah MKD yang lain serta terdapat pindaan dibuat tanpa kebenaran.
Kata beliau, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semasa proses perbincangan dan penukaran saham Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009 memaklumkan kepada MKD bahawa 1MDB hanya berurusan dengan Perdana Menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat.
“Mereka (1MDB) ada PM (Perdana Menteri) di belakang, sebab itu mereka beritahu hanya berurusan dengan PM,” katanya ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah.
Beliau merupakan saksi pendakwaan ke-26 memberi keterangan lisan semasa perbicaraan rasuah 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Siti Zauyah berkata, beliau membangkitkan perkara itu kepada Menteri Kewangan II ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, namun Ahmad Husni memberitahunya tidak mahu terbabit dengan isu berkenaan.
Menurut beliau, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah juga memberitahunya supaya tidak berbuat apa-apa mengenai perkara tersebut.
Selain itu, Siti Zauyah memberi keterangan tidak pernah melihat dokumen yang menunjukkan tandatangan Ahmad Husni membenarkan pemindahan M&A TIA kepada 1MDB apabila salinan dokumen pendakwaan itu dikemukakan oleh Muhamad Shafee.
Ahmad Husni dalam keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, beliau diminta oleh Najib supaya tidak campur tangan mengenai perancangan pelaburan 1MDB dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak, PetroSaudi International Ltd.
Najib berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – KOSMO! ONLINE