MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin menuduh Amerika Syarikat (AS) ‘berlagak Tuhan’ dan menepis sekatan Barat dalam ucapan yang disampaikan di bandar kelahirannya, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Bercakap pada forum ekonomi di bandar St. Petersburg kelmarin, Putin memberi amaran bahawa ‘situasi sedia ada tidak akan kekal’ ketika menegaskan kekuatan dan daya tahan Russia.
“Kami adalah bangsa yang kuat dan boleh menghadapi segala cabaran. Seperti nenek moyang kami dahulu, kami akan menyelesaikan sebarang masalah,” kata beliau.
Putin juga mengulas khabar angin mengenai keadaan kesihatannya yang merosot.
“Seperti kata-kata Mark Twain (penulis Amerika Syarikat), ‘khabar angin tentang kematian saya sangat dibesar-besarkan,” jawab Putin.
Putin yang berusia 69 tahun berkata, AS menganggap dirinya sebagai ‘utusan Tuhan di muka bumi’ sedangkan Russia kini mengambil kedudukan dalam susunan dunia baharu yang peraturannya akan ditetapkan oleh negara ‘paling kuat dan berdaulat’.
“Jika mereka (AS) menganggap mereka luar biasa, maka negara-negara lain adalah kelas kedua. AS masih berkhayal dan hidup di masa lalu,” katanya.
Putin disambut dengan tepukan penonton apabila beliau berikrar untuk meneruskan ‘operasi ketenteraan khasnya’ di Ukraine di samping menegaskan bahawa keputusan untuk menyerang adalah sukar, namun perlu dilakukan.
Beliau menyifatkan kempen ketenteraan Russia di Ukraine sebagai tindakan sebuah ‘negara berdaulat untuk mempertahankan keselamatannya’ dan menuduh Barat sebagai aktif mempersenjatai wilayah-wilayah di Ukraine’.
Putin juga mengakui skala kemusnahan yang sedang berlaku tetapi menafikan kesalahan tentera Russia. – Agensi