fbpx

Sophia Albarakbah elak cinta lokasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOPHIA ALBARAKBAH

SI cantik, Sophia AlBarakbah yang semakin meraih perhatian ramai enggan meraih populariti menerusi kontroversi negatif.

Biarpun memiliki keserasian bersama hero drama lakonannya seperti Datuk Aaron Aziz menerusi drama Suamiku Lelaki Pendosa, Keith Foo (Air Mata Allisya) dan terbaharu, Shahz Jaszle (Cinta Hilang Kata), Sophia enggan namanya dikaitkan dengan kontroversi cinta lokasi.

“Setakat ini memang tidak ada berlaku sebarang cinta lokasi. Sebagai pelakon saya meletakkan sempadan hubungan sekadar rakan sahaja apabila bekerja.

“Saya berlakon dengan lelaki berkahwin, jadi saya tahu sempadan yang perlu ada. Diakui saya rapat dengan hero gandingan kerana sudah setiap hari berjumpa di set penggambaran.

“Namun, jika bekerja, hubungan tidak lebih daripada rakan. Bagi saya semua tahu batas masing-masing walaupun kami perlu nampak serasi di depan kamera,” ujar Sophia yang bakal muncul menerusi naskhah Cinta Hilang Kata tidak lama lagi.

Karier sebagai pelakon secara automatik mempopularkan namanya, namun disebabkan sikap introvert, wanita muda berusia 29 tahun tidak selesa dengan populariti yang diraih.

BERMULA sebagai pelakon iklan ketika masih belajar, Sophia mula mencipta nama ketika bergandingan bersama Fattah Amin menerusi filem Mimaland.

“Terus-terang saya tidak sukakan populariti, malah itu bukan sasaran saya ketika mula-mula terjun ke industri seni. Saya jadi pelakon kerana suka berlakon. Saya kurang selesa, apabila orang ramai mula memandang saya, mungkin kerana saya seorang yang introvert,” tutur Sophia.

Menurutnya lagi, disebabkan sikapnya yang pemalu dan pendiam, dia sering dipandang serong dan dikatakan seorang yang sombong sejak di bangku sekolah.

“Sudah banyak kali orang menyangka saya sombong, walhal saya pemalu dan pendiam. Jika orang yang sudah biasa, saya akan bercakap banyak.

“Masih diingat, waktu mula-mula jadi pelakon, hendak bercakap dengan orang pun saya cukup segan. Sekarang saya cuba berubah dan belajar bercakap dengan orang sekeliling tanpa rasa malu,” kongsi Sophia.

Sementara itu, demi menjaga kesihatan mentalnya, Sophia memilih untuk mengelak daripada membaca komen-komen negatif yang ditinggalkan netizen dalam media sosialnya.

SOPHIA mengambil kelas lakonan dengan pelakon Farah Ahmad yang merupakan menantu Fauziah Nawi bagi memantapkan teknik lakonannya.

Meskipun sudah bersedia untuk menerima segala sisi hitam industri hiburan termasuk kecaman apabila membulatkan hati menjadi pelakon, sebagai manusia biasa Sophia juga kadangkala tewas dengan emosinya sendiri.

“Saya menjadi diri saya di media sosial, saya akan muat naik gambar yang saya inginkan, walaupun dikatakan seksi oleh segelintir pihak, tetapi itu adalah diri saya daripada sebelum menjadi pelakon lagi.

“Saya tidak mahu ‘berlakon’ atau fake depan peminat. Tetapi biasalah bukan semua orang suka, komen-komen yang ditulis seperti saya buat jahat.

“Mula-mula saya koyak juga, lama-kelamaan atas nasihat rakan-rakan senior dalam industri seni, saya abaikan dan tidak lagi baca komen yang boleh mengganggu minda serta fokus untuk bekerja,” katanya.

Tambah Sophia, jika terdapat komen atau akaun palsu yang berlebih-lebih dalam memberi komen negatif, cara paling mudah adalah menyekat akaun tersebut.

“Andai keterlaluan saya akan sekat sahaja akaun tersebut, tidak perlu serabutkan hidup dengan komen-komen yang tidak mendatangkan faedah,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI