NEW DELHI – Polis India menemui emas seberat 500 gram yang bernilai AS$6,400 (RM28,172) daripada kawanan tikus di dalam sebuah longkang, lapor laman berita Wion News semalam.
Insiden itu berlaku apabila seorang wanita berusia 45 tahun yang bekerja sebagai seorang pembantu rumah memberitahu polis bahawa dia kehilangan beg yang mengandungi barang kemasnya.
Menurut wanita bernama Sundari Planibel itu, ketika itu dia dalam perjalanan untuk menggadai emas bagi mendapatkan wang untuk membayar pinjaman perkahwinan anak perempuannya.
Sundari berkata, selepas melihat sebilangan kanak-kanak mengumpul sampah, dia memberikan bungkusan makanan dari beg yang sama dia menyimpan emasnya.
Bagaimanapun, sejurus tiba di bank, dia baru menyedari perkara tersebut lantas cuba mencari kanak-kanak itu di kawasan sama, namun gagal menemui mereka.
Selepas dibantu polis dan penduduk tempatan, kanak-kanak tersebut berjaya ditemui.
Mereka kemudian memberitahu telah membuang beg itu ke tempat pembuangan sampah kerana mendapati makanan tersebut terlalu kering. Bagaimanapun, polis gagal mengesan barang kemas itu di kawasan tersebut.
Polis kemudian memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan beberapa ekor tikus membawa beg berisi emas itu dari tempat pembuangan sampah ke longkang, kata sub-inspektor SI C. Gharge kepada agensi berita ANI.
Polis kemudian membuka penutup pembetung dan menemui beg itu dengan semua barang kemas yang masih berada di dalamnya. Ia kemudian dikembalikan kepada pemiliknya pada Khamis lalu. – Agensi