fbpx

Peruntukan RM10.9 juta naik taraf laluan Lebuh Raya Timur-Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapa (dua dari kiri) dan Mohd. Suhaili (dua dari kiri) semasa melawat laluan FT004, Lebuh Raya Timur-Barat, Jeli hari ini. FOTO ROSLIZA MOHAMED

JELI – Kerajaan memperuntukan dana sebanyak RM10.9 juta untuk kerja-kerja menyelenggara 11 lokasi untuk menaik taraf laluan di Lebuh Raya Timur-Barat di Kelantan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebanyak RM16.6 juta telah dikeluarkan pada tahun lalu untuk kerja penyelenggaraan laluan tersebut di negeri ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), sebanyak 13 lagi lokasi di sepanjang laluan tersebut sepatutnya dinaik taraf pada tahun ini membabitkan jumlah RM8.9 juta.

“Sehubungan itu, Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) telah membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri mengenai keperluan menyediakan peruntukan yang lebih besar bagi kerja-kerja menyelenggara aset-aset kerajaan termasuk jalan raya, peralatan dan bangunan pada April lalu.

“Kerajaan memandang serius isu melibatkan laluan di Lebuh Raya Timur-Barat kerana merupakan laluan utama masuk ke Kelantan. EPU dan Kementerian Kewangan telah memberi keutamaan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan itu,” katanya selepas mengadakan lawatan bersama Pengarah JKR Kelantan, Ir. Mohd. Suhaili Ismail ke laluan FT004, Lebuh Raya Timur-Barat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di sepanjang Lebuh Raya Timur Barat juga telah dilaksanakan secara berperingkat.

“Kerja penyelenggaraan di kawasan lebuh raya itu melibatkan laluan sejauh 313.71 kilometer merentasi negeri Kedah, Perak dan Kelantan.

“Jajaran jalan ini bermula dari Baling, Kedah ke Grik, Perak melibatkan jarak sejauh 114.66 kilometer. Ia juga melibatkan laluan sejauh 83.78 kilometer dari Gerik ke Jeli dan 115.5 kilometer dari Jeli ke Pasir Puteh,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI