JOHOR BAHRU – Penghantar makanan didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi media sosial, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Khair Maani, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Khair didakwa menggunakan platform media sosial Instagram secara sedar telah memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah, di sini, kira-kira pukul 8.50 pagi pada 25 Januari 2020.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Che Wan Zaidi meminta bilik pendakwaan dikosongkan kecuali tertuduh dan pihak pendakwaan bagi memaparkan video dan gambar kejadian bagi tujuan pengesahan dilakukan.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman diringankan kerana hanya bekerja sambilan dan menanggung ibu serta adiknya.-KOSMO! ONLINE