LUMUT – Penduduk di lima buah kampung di sepanjang laluan tidak bertol Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang sedang dalam pembinaan mendesak kerajaan melakukan sesuatu kerana sudah tidak tahan melihat banyak nyawa melayang ekoran persekitaran yang tidak selamat.
Sejak pembinaan WCE, kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Batu 14 dan Batu 15 Lekir, Kampung Tersusun Kayan, Kampung Ulu Kayan dan Parit Jerman mendakwa, mereka bukan sahaja sukar untuk menyeberang ke kawasan bertentangan, malah terpaksa memandu jauh untuk ke mana-mana destinasi.
Penduduk juga mendakwa, kesukaran timbul apabila terdapat penghadang konkrit yang dipasang sebagai pembahagi jalan.
Wakil penduduk, Mohd. Basari Hamid, 72, berkata, sebahagian besar penduduk Parit Jerman terpaksa memandu sejauh empat kilometer ke kawasan Sejagop, Kampung Gajah semata-mata untuk membuat pusingan U jika mahu ke Sitiawan, Seri Manjung atau Lumut.
“Keadaan itu menyebabkan ada ibu bapa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama pada waktu petang kerana jauh. Bilangan jemaah di surau juga berkurangan dan mungkin akan tiada langsung kerana jemaah perlu berpusing jauh.
“Keadaan itu membahayakan nyawa penduduk terutama penunggang motosikal kerana sejak jalan baharu dibuat, kenderaan semakin laju,” katanya ketika ditemui pada majlis perjumpaan penduduk dengan wakil rakyat, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor di sini kelmarin.
Menurut Mohd. Basari, penduduk mencadangkan agar pusingan U tambahan dibuat berhampiran Parit Jerman.
Penduduk Batu 15, Mohd. Zawawi Mohd Yunus, 45, berkata, kemalangan maut sering berlaku di situ hingga ada yang menyifatkan laluan itu sebagai ‘kubur’.
“Banjir juga pasti akan berlaku kerana parit yang telah diperbesarkan kembali sempit ekoran pembinaan lebuh raya itu.
“Saya cadangkan supaya JKR dan kontraktor memasang lebih banyak papan tanda selain arah haluan sering berubah sehingga mengelirukan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Khairiah Batu 14 Lekir, Osman Abdul Mutalib, 58, pula meminta supaya dibina laluan susur masuk dan lampu isyarat untuk memudahkan jemaah solat di masjid khususnya pada hari Jumaat.
“Keadaan sekarang amat berbahaya kerana selain terpaksa jalan jauh untuk membuat pusingan U, jalan itu amat sibuk dan kenderaan pula dipandu laju terutama pada hujung minggu dan musim cuti,” katanya.
Sementara itu, wakil JKR Putrajaya berkata, pihaknya mengambil maklum aduan penduduk tersebut.
“Laluan sepanjang sembilan kilometer yang bertujuan memendekkan perjalanan dari Lembah Klang ke utara itu mempunyai tiga jejantas dan dua pusingan U besar dan mematuhi teknik jalan dan Kajian Audit Keselamatan Jalan Raya.
“Ada cadangan yang tidak boleh dibuat tetapi mana yang boleh ditambah baik, kita akan cuba lakukan,” jelasnya.