JURULATIH Pahang Tulips, Hapizah Jaafar percaya, goal shooter pasukannya, Siti Maisarah Affandi mampu mencapai impian bergelar penjaring terbanyak Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Maisarah, 22, berada pada landasan tepat apabila mendahului carta penjaring terbanyak minggu lalu dengan 229 jaringan, mengatasi penyandang gelaran itu iaitu An Najwa Azizan dari Johor Jewels (222 jaringan).
Kecemerlangan itu membolehkan Pahang mengesahkan tempat awal ke separuh akhir sebagai empat pasukan teratas walaupun masih berbaki satu lagi aksi menentang juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats malam ini.
“Sebenarnya saya sudah jangka sebelum NSL bermula lagi sebab dalam saingan remaja dia (Maisarah) dapat penjaring terbanyak. Kemungkinan besar dia boleh capai apa yang dia impikan untuk musim ini,” kata Hapizah.
Menurut Hapizah, antara faktor peningkatan ketara prestasi Pahang musim ini berbanding edisi pertama tahun lepas adalah disebabkan juga persediaan rapi yang telah dilakukan.
Format baharu kali ini yang boleh menyenaraikan 15 pemain berbanding hanya 12 orang tahun lepas turut memainkan faktor utama kejayaan Pahang mencapai sasaran awal ke separuh akhir.
“Persediaan tahun lepas sedikit terganggu sebab ada pemain kami menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Tahun ini kita ada ramai pemain, jadi ada pengganti jika berlaku masalah atau kecederaan.
“Walaupun sasaran awal tercapai, tetapi sebagai jurulatih saya masih belum berpuas hati. Mana-mana jurulatih sentiasa nak yang lebih baik lagi sehingga dapat pencapaian terbaik,” jelasnya.