KLANG – Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang dipercayai sanggup melarikan pelajar perempuan berusia 13 tahun dan merogolnya mengundang padah apabila dia dicekup polis semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan suspek berusia 39 tahun itu dilakukan hasil laporan ibu mangsa mengenai kehilangan remaja tersebut di sekitar daerah ini, Khamis lalu.
Katanya, wanita itu memaklumkan anaknya yang juga pelajar Tingkatan Satu didakwa menaiki sebuah kereta selepas tamat waktu sesi persekolahan.
“Pada 14 Jun lalu, mangsa dipercayai berkenalan dengan suspek menerusi satu aplikasi sebelum mereka membuat temujanji di hadapan sekolah untuk melarikan diri.
“Suspek kemudian mengambil mangsa dengan sebuah kereta dan melakukan hubungan seks di sebuah bangunan rumah kedai di Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, suspek menghantar pelajar berkenaan ke Sentul, Kuala Lumpur kelmarin sebelum mangsa meminta bantuan rakan sekelas untuk mengambilnya pulang.
Tambah beliau, pihaknya berjaya memberkas lelaki tempatan itu sekitar Kuala Lumpur, kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
“Suspek kini direman selama empat hari manakala telefon bimbit dan kenderaan digunakannya turut dirampas bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 san Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO!ONLINE