SEBERANG PERAI – Sebanyak 13 aduan berkaitan perbuatan menyorong barang kawalan diterima oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sehingga semalam.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, aduan tersebut dianggap sebagai impak positif daripada pengguna dan peniaga susulan Kempen Anti Sorok Barang Kawalan yang dilaksanakan ketika ini.
Azman bagaimanapun berkata, jumlah kes yang terhasil daripada 13 aduan itu tidak dapat ditentukan sepenuhnya kerana hasil risikan lanjut mendapati ada yang berlaku di lokasi berbeza daripada aduan yang diterima.
“Oleh sebab itu, mustahak untuk saya nyatakan bahawa apabila pengguna nak aduan disiasat dengan cepat dan berkesan maka, kami di KPDNHEP memerlukan data yang lengkap.
“Contohnya, alamat serta barang yang disorok bagi membolehkan kami membuat siasatan dengan lebih cepat,” katanya selepas mengetuai operasi pemeriksaan bekalan barang keperluan harian di peringkat borong/runcit di sebuah premis perniagaan di Taman Industri Cherok Tokun di sini hari ini.
Dalam pada itu, jelas Azman, selain pelaksanaan Kempen Anti Sorok, KPDNHEP juga sentiasa serius untuk membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi yang menjadi penyumbang utama kepada ketirisan subsidi dan gangguan bekalan barang kawalan di pasaran ketika ini.
“Hasil tindakan berterusan KPDNHEP dalam memerangi penyelewengan barang kawalan/subsidi ini iaitu sejak 2018 hingga Mei 2022, sebanyak 367 kes telah dihasilkan melibatkan minyak masak, 197 kes melibatkan tepung gandum dan 322 kes melibatkan petrol.
“Turut direkodkan ialah sebanyak 301 kes melibatkan diesel dan 586 kes gas petroleum cecair dengan nilai rampasan bagi keseluruhan kes ini adalah bernilai RM27.23 juta,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE