LONDON – Jangkitan Covid-19 kembali melonjak di England dengan catatan 1.13 juta kes pada minggu berakhir 10 Jun lalu sekali gus petanda gelombang baharu koronavirus melanda Britain, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Berdasarkan situasi semasa tersebut, Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menganggarkan terdapat 40 peratus kenaikan kes Covid-19 dalam tempoh seminggu atau bersamaan satu kes dalam setiap 50 penduduk.
Ia menandakan peningkatan kes mingguan terbesar sejak Disember tahun lalu apabila Omicron muncul varian dominan di Britain.
Dalam perkembangan sama, kes turut meningkat di Wales dan Ireland Utara dengan seorang dalam setiap 45 individu dijangkiti Covid-19 minggu lalu, manakala Scotland mencatat satu jangkitan setiap 30 orang.
Tinjauan jangkitan mingguan ONS menjadi penanda aras terbaik jangkitan Covid-19 dalam era pasca pandemik selepas ujian calitan percuma dihentikan dan papan pemuka kes harian bukan lagi petunjuk utama.
Berdasarkan data semasa, lonjakan semula koronavirus di Britain dilaporkan didorong oleh subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron yang dianggap lebih mudah berjangkit daripada varian induknya.
Saintis-saintis juga percaya sambutan bahawa orang ramai yang berhimpun dan keluar sempena sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth dua minggu lalu mungkin menjadi punca jangkitan kembali meningkat.
Sementara itu, kebimbangan semakin meningkat bahawa Britain mungkin bakal berdepan dua wabak sekali gus menjelang musim sejuk tahun ini iaitu Covid-19 dan influenza sama seperti yang berlaku di Australia sekarang.
“Jangkitan meningkat di semua empat negeri iaitu Scotland, England, Ireland Utara dan Wales, didorong oleh peningkatan individu yang dijangkiti oleh varian BA.4 dan BA.5 Omicron.
‘Masih awal untuk mengatakan sama ada ini adalah permulaan gelombang baharu tetapi kami akan terus memantau situasi dan data dengan teliti,” ahli statistik kanan ONS, Kara Steel.
Tinjauan ONS adalah satu-satunya program pengawasan rasmi yang digunakan oleh kerajaan Britain untuk memantau situasi semasa wabak tersebut.
ONS membuat ujian pengesanan ke atas puluhan ribu individu secara rawak setiap minggu. – Agensi