KULAI – Seorang wanita daripada kumpulan pertama jemaah haji Johor didapati positif Covid-19 hasil ujian pengesanan RT-PCR yang dijalani sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini petang tadi.
Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Abu Shukor Jangga berkata, penerbangan wanita itu bersama suaminya akan ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Katanya, penangguhan itu bergantung kepada keadaan wanita itu serta tempoh kuarantin yang perlu dijalani sebelum melakukan ujian pengesanan wabak Covid-19.
“Ia berbeza mengikut tahap kesihatan individu, sekiranya keadaannya tidak begitu teruk, mungkin tempoh kuarantin lebih pendek.
“Sekiranya, ketika dia sudah bebas Covid-19 dan tidak ada lagi penerbangan dari LTAS, maka dia perlu terus mengambil penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di LTAS, dekat sini hari ini.
Abu Shukor berkata, bermula hari ini hingga Rabu terdapat satu ‘chartered flight’ akan berlepas di LTAS bagi membawa bakal jemaah haji di negeri ini.
“Disebabkan slot penerbangan yang terhad, kita akan membantu sebaik mungkin mana-mana individu yang didapati positif untuk menunaikan hajat mereka ke Tanah Suci,” katanya. -KOSMO! ONLINE