MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, aspek penyelenggaraan fasiliti secara menyeluruh Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) tetap menjadi keutamaan selain menjalankan penambahbaikan padang.
Bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak dapat memberikan jangkaan nilai keseluruhan yang diperlukan kerana perlu mendapat penilaian terlebih dahulu daripada Perbadanan Stadium Malaysia dan juga Jabatan Kerja Raya.
“Bukan sahaja padang, tetapi tandas, scoreboard, tempat duduk dan sebagainya. Ada yang kata dah tak nampak nombor kerusi. Jadi, kita cuba (penambahbaikan) sebanyak yang boleh supaya tiada lagi masalah bila orang datang stadium.
“Penyelenggaran juga penting, sebab itu saya maklum kepada PSM supaya buat perancangan bagi mendapatkan rakan kerjasama strategik untuk menjana lebih banyak pendapatan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Teh Tarik Santai di SNBJ kelmarin.
Justeru, Ahmad Faizal berharap fasiliti dan kawasan di sekeliling SNBJ dapat dimanfaatkan sepenuhnya seperti membuka pusat perniagaan barangan sukan, muzium dan sebagainya untuk menjana pendapatan.
“Memang stadium tutup, tetapi bukan sepenuhnya, untuk aksi-aksi antarabangsa memang tak bolehlah digunakan. Beberapa fasiliti yang tidak digunakan untuk kerja-kerja penambahbaikan seperti trek boleh digunakan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ahmad Faizal tidak menolak kemungkinan SNBJ mungkin melalui proses penjenamaan semula pada masa depan seperti Axiata Arena yang sebelum ini dikenali sebagai Stadium Putra.
Menurutnya, kemungkinan itu ada memandangkan ia turut menjadi antara salah satu perancangan masa depan oleh Kementerian Belia dan Sukan.