TANAH MERAH – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membongkar kegiatan sebuah syarikat membekal minyak diesel di sini yang membeli bahan api pada harga subsidi di stesen minyak sebelum dijual pada harga industri untuk meraih keuntungan berganda di sebuah stor di Kampung Tebing Tinggi di sini.
Kegiatan tersebut terbongkar selepas anggota PGA dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan serbuan di stor berkenaan yang dijadikan pusat simpanan bahan api itu kira-kira pukul 2 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dijalankan, empat orang lelaki didapati sedang menyedut minyak diesel dari sebuah lori ke dalam enam buah tangki simpanan statik menggunakan mesin penyedut.
Katanya, tiga lelaki berusia berusia 29 hingga 50 tahun berjaya ditahan manakala seorang lagi sempat melarikan diri dengan memanjat pagar sebaik menyedari ketibaan pihak berkuasa.
“Pemeriksaan pada tangki sebuah lori itu mendapati ia mengandungi sebanyak 28,800 liter minyak diesel yang dipercayai dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran.
“Selain itu, kita juga mendapati enam buah tangki di stor berkenaan yang telah diisi sebanyak 90,800 liter dianggarkan bernilai RM195,220. Jumlah kesemua rampasan diesel, dua buah lori dan dua unit mesin pam dianggarkan berjumlah RM735,220,” katanya pada sidang akhbar di stor berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, siasatan mendapati, kesemua diesel itu dibeli pada harga subsidi sebelum ia dijual kepada syarikat pengangkutan atau pemborong pada harga industri untuk meraih keuntungan.
Difahamkan, syarikat itu membeli diesel pada harga subsidi iaitu RM2.15 seliter sebelum menjual bahan api berkenaan kepada pemborong pada harga industri RM4.50 seliter. -KOSMO! ONLINE