LONDON – Pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka dilaporkan sedang disiasat oleh Agensi Jenayah Nasional berhubung skandal perjudian selepas menerima kad kuning mencurigakan ketika menentang Leeds United musim lalu.
Persatuan Bola Sepak (FA) England telah dimaklumkan mengenai insiden yang menyebabkan Xhaka dilayangkan kad kuning ketika Arsenal menewaskan Leeds 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road pada 18 Disember lalu.
Ia selepas wujud kecurigaan terhadap satu pertaruhan yang luar biasa dengan jumlah £52,000 (RM279,846) ke atas Xhaka sekiranya dia dilayangkan kad kuning pada 10 minit terakhir meskipun Arsenal memenangi aksi itu.
Insiden itu benar-benar terjadi apabila kapten Switzerland itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Andre Marriner kerana sengaja melengah-lengahkan masa untuk mengambil sepakan percuma pada minit ke-86.
Pertaruhan yang dilakukan dalam sebuah laman web perjudian itu mengena dan membolehkan pengguna berkenaan meraih pulangan sebanyak £250,000 (RM1.34 juta).
Difahamkan, FA masih belum membuat sebarang siasatan ke atas tingkah laku Xhaka, tetapi difahamkan badan induk itu telah menyerahkan segala maklumat kepada agensi berkenaan.
Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai rekod disiplin teruk bersama Arsenal apabila menerima 10 kad kuning selain turut diarahkan keluar padang sebanyak dua kali sepanjang kempen musim lalu.
Jika disabit kesalahan, hukuman berat boleh dikenakan seperti diterima pemain pertahanan Lincoln City, Bradley Wood yang digantung enam tahun sejak 2018 selepas didapati bersalah sengaja menerima dua kad kuning. – AGENSI