PETALING JAYA – Pusat pelindungan haiwan, Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi Haiwan (AMANAH) bersedia untuk mengambil tanggungjawab menjaga lebih 40 ekor kucing peliharaan Allahyarhamah Adibah Noor selepas penyanyi itu dilaporkan meninggal dunia, semalam.
AMANAH menerusi satu kenyataannya dalam Facebook berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengambil alih dan memelihara kucing-kucing milik arwah untuk berteduh di rumah AMANAH yang terletak di Hulu Langat, Selangor.
“Salam takziah buat Adibah Noor. Amanah tiada masalah jika kucing-kucing arwah sebanyak lebih daripada 40 ekor hendak berteduh di rumah AMANAH.
“Syarat nombor satu (utama) adalah disebabkan kematian tuan kucing,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihak AMANAH meminta waris kepada pelantun lagu Terlalu Istimewa itu untuk menghubungi pihaknya jika bersetuju untuk menyerahkan kesemua kucing milik arwah.
“Warisnya (keluarga Adibah Noor) boleh hubungi saya. Tidak perlu bayar apa-apa dan tidak perlu beri makanan (derma) pada kucing pada setiap bulan. Malah setiap hari Ahad dari pukul 2.30 petang hingga 6.30 petang adalah hari melawat. Terbuka kepada umum,” jelasnya.
Pada masa sama, AMANAH menegaskan pihaknya tidak akan menerima sebarang bentuk bantuan termasuk dalam bentuk kewangan kerana ikhlas untuk membantu.
“Minta maaf pada yang meminta nombor akaun bank. Biarlah pihak kami mengambil kucing-kucing arwah dahulu. Saya sudi menerima. Tidak pasti jika ada warisnya yang mahu jaga.
“Lagi pun memang sejak beroperasi tiga tahun lalu, AMANAH tidak pernah meminta sumbangan secara umum. Hanya mereka yang hubungi akaun ini dengan niat untuk menyumbang, baru kami akan berikan nombor akaun,” katanya.
Dalam ruangan komen, rata-rata masyarakat terharu dan bersyukur apabila ada pihak yang sudi mengambil puluhan kucing milik arwah untuk terus dijaga.
“Alhamdulillah. Moga Allah SWT permudahkan urusan tuan di dunia dan akhirat. Diberikan kebaikan,” kata seorang netizen.
“Ketika mendapat tahu arwah meninggal dunia, perkara pertama terlintas, bagaimana nasib kucing-kucing arwah. Alhamdulillah, semoga segala urusan dipermudahkan,” kata seorang lagi pengguna Facebook.
Sebagai info, Allahyarhamah Adibah Noor, 52, merupakan seorang pencinta kucing dan untuk rekod, dia memiliki lebih 40 ekor kucing peliharaan pelbagai baka, termasuk kucing jalanan yang dibela di rumahnya.
Bagaimanapun, selebriti serba boleh itu dilaporkan meninggal dunia di salah sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur akibat kanser ovari tahap empat. – KOSMO! ONLINE