KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Allahyarham Adibah Noor yang meninggal dunia disebabkan kanser ovari tahap empat Sabtu lalu menyembunyikan derita penyakit tersebut bukan sahaja daripada pengetahuan umum, bahkan bapa sendiri.
Bapa Allahyarham, Mohd. Omar Zainal Abidin, 89, yang ditemui Kosmo! Online usai pengebumian anaknya itu sebentar tadi memaklumkan dia sendiri tidak mengetahui anaknya menghidap penyakit penyakit tersebut
“Saya tak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Dia pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga.
“Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okey, semuanya okey.
“Saya tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya,” katanya.
Tambahnya lagi, Allahyarham juga bukan jenis yang suka menyusahkan walaupun ahli keluarga sendiri.
“Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam begitu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut.
“Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang,” katanya.
Terdahulu, Allahyarham Adibah Noor, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat, di sini, pukul 11.30 pagi.
Terdahulu, jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat sekitar pukul 9 pagi.
Lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir termasuklah Datuk Afdlin Shauki, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Liza Abdullah, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek dan Linda Onn.
Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd. Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles akibat penyakit kanser ovari tahap empat pukul 7.30 malam, semalam. – KOSMO! ONLINE