TAMPIN – Orang ramai di daerah ini dinasihatkan untuk berhati-hati dan segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki ada menerima wang palsu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, untuk tempoh dua bulan ini bermula 9 Mei hingga 17 Jun, pihak polis menerima empat laporan berhubung wang palsu membabitkan kerugian RM150.
Menurutnya, keempat- empat kes tersebut merupakan laporan polis yang diterima daripada kakitangan bank di Gemas dan Tampin yang telah didatangi pelanggan yang mahu melakukan urusan perbankan di kaunter kewangan.
“Hasil semakan mendapati wang tersebut disyaki palsu yang telah didepositkan oleh pelanggan. Pihak bank mendapati tiada unsur jenayah daripada pelanggan kerana pelanggan tersebut adalah pelanggan tetap.
“Pihak bank membuat rampasan wang setelah mendapati ia tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan serta jalur emas wang kertas tulen bagi tindakan siasatan pihak polis,” katanya ketika mengulas berkenaan mesej tular yang mendakwa terdapat banyak wang palsu di sekitar Gemas.
Ujar Anuwal lagi, secara keseluruhannya terdapat sembilan kes duit palsu direkodkan di daerah ini sejak awal tahun dengan tiga individu berusia 21 hingga 46 tahun telah ditangkap serta dihadapkan ke mahkamah pada Januari lalu.
Katanya, kes membabitkan wang palsu disiasat dibawah Seksyen 489 B Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE