KUALA LUMPUR – Sabah harus menarik nafas lega apabila terselamat daripada kebangkitan Sri Pahang sebelum memastikan kemenangan 2-1 pada aksi di Stadium Likas, sebentar tadi.
Bagaimanapun, tuan rumah sepatutnya mampu menamatkan perlawanan dengan lebih banyak gol ketika skuad The Rhinos melepaskan dua peluang terbaik menerusi sepakan penalti namun keputusan itu tetap melonjakkan Sabah di tangga teratas Liga Super buat seketika.
Sabah yang cemerlang dengan empat kemenangan dalam empat aksi terakhir sebelum ini nyata pasukan lebih baik sepanjang babak pertama apabila mendahului permainan seawal minit ke-10 menerusi Neto Pessoa.
Berselang lapan minit selepas itu, giliran Taiki Kagayama mencipta nama selaku penjaring selepas tenang melepasi kawalan tiga pemain lawan sebelum melakukan rembatan yang melepasi jangkauan penjaga gol pelawat, Zarif Irfan Hashimuddin.
Memiliki kelebihan dua gol nyata beri semangat tambahan buat Sabah yang dilihat cukup berdisiplin ketika melakukan tugasan bertahan dan minit ke-55, tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti sebaliknya peluang itu gagal disudahkan dengan sempurna oleh Baddrol Bakhtiar apabila sepakannya melambung tinggi.
Bagaimanapun, minit ke-59, usaha berterusan Sri Pahang untuk memburu gol semangat membuahkan hasil menerusi Manuel Hidalgo yang tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Ketika pelawat makin ghairah memburu gol penyamaan, minit ke-73, pelawat sekali lagi dikejutkan dengan keputusan pengadil yang menghadiahkan penalti buat Sabah sebaliknya Pessoa yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan terus dihimpit kecewa apabila sepakannya berjaya ditepis keluar oleh Zarif Irfan.
Di Stadium Hang Jebat, Derbi Naning berakhir dengan seimbang apabila Melaka United dan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Walaupun dilihat lebih garang sepanjang babak pertama, tiada serangan berbahaya mampu dihasilkan Melaka United ketika pertahanan lawan cukup berdisiplin ketika bertahan.
Negeri Sembilan yang mahu mengembalikan rentak kemenangan harus menyalahkan diri sendiri apabila penyerang baharunya, Gustavo Almeida melepaskan dua peluang terbaik untuk menjaringkan gol.- KOSMO! ONLINE.