KUALA LUMPUR – Warga kota tidak melepaskan peluang menikmati tawaran tambang percuma yang diberikan kerajaan sejak untuk pengangkutan awam kendalian Rapid KL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam.
Tinjauan Kosmo! di beberapa stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di sekitar ibu negara semalam mendapati, keadaan sesak dengan puluhan ribu penumpang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke tempat kerja dan destinasi lain.
Kesesakan bermula seawal pukul 7 pagi hingga 9 pagi.
Bagi seorang bapa, Muhd. Zamri Muhammad, 32, dia tidak melepaskan peluang tawaran percuma itu untuk merealisasikan hasrat anak sulung mereka yang mahu menaiki MRT sempena hari lahirnya.
Katanya, sebelum ini anaknya, Nurnatrah Zufairah, 5, sering kali mengajaknya untuk menaiki perkhidmatan awam tersebut.
“Kebetulan hari ini (semalam) saya cuti, ditambah dengan pemberian tambang percuma maka saya gunakan untuk bersiar-siar dengan keluarga menaiki MRT, LRT,” katanya semalam.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Siti Amirah Mohd. Amin, 26, berkata, dia menjangkakan kesesakan akan bertambah teruk minggu depan termasuk cuti umum berikutan pemberian tambang percuma..
Berikutan itu katanya, dia mungkin terpaksa merancang lagi perjalanan dan keluar lebih awal berbanding biasa.
Katanya, ketika ini dia terpaksa merancang pergerakan lebih awal daripada kebiasaan iaitu sekitar 6.40 pagi untuk mengelakkan daripada menghadapi kesesakan melampau.
“Sebelum ini, saya sering lambat ke tempat kerja. Bukan sahaja kerana tren yang ditunggu lewat, malah saya perlu berjalan kaki dan membuat pertukaran (transit) tren di KL Sentral untuk ke tempat kerja.
“Jika ditambah masa menunggu, secara keseluruhan perjalanan saya mengambil masa hampir dua jam setiap hari untuk pergi dan balik,” ujarnya.
Kata Siti Amirah, satu tindakan perlu dilakukan memandangkan kebanyakan pekerja telah membeli pas bulanan.
“Pengguna pengangkutan awam adalah orang yang sama. Jika beri percuma, kami yang bekerja ini tidak mendapat apa-apa manfaat memandangkan kita semua sudah mempunyai pas bulanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, pekerja sumber manusia yang mahu dikenali sebagai Azri, 38, berkata, dia terpaksa melepaskan sebanyak empat tren semalam berikutan terlalu sesak.
“Boleh dikatakan sekarang ini agak sukar untuk menepati masa. Naik pengangkutan awam juga sesak dan semakin tertekan. Perjalanan juga mengambil masa yang lama dan penat.
“Walaupun perkhidmatan percuma, saya rasa sesak seperti biasa dan inilah apa yang dilalui oleh saya setiap hari,” jelasnya.
Seorang pelajar kolej swasta, Su Bin, 18, berkata, tawaran percuma berkenaan perlu diseiringkan dengan penambahan tren dan kekerapan operasi kerana kesesakan di stesen LRT sebelum ini telah membuatkan dirinya sering lewat ke kelas.
Katanya, dia sukar untuk merancang perjalanan memandangkan setiap hari bilangan pengguna MRT semakin meningkat.
“Jika tren lewat, pasti beri kesan. Itu yang membuat saya bimbang setiap hari,” ujarnya.