MADRID – Presiden kelab Real Madrid, Florentino Perez mendedahkan punca utama pasukannya tidak menandatangani khidmat penyerang muda sensasi, Erling Haaland adalah disebabkan pemain itu tidak sebagus kapten pasukan, Karim Benzema.
Difahamkan, Haaland yang juga penyerang antarabangsa Norway telah menarik perhatian beberapa kelab terkemuka Eropah tetapi mengambil keputusan untuk menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City.
Kata Perez, Haaland adalah seorang pemain yang bagus tetapi satu kerugian jika mendapatkan khidmatnya andai peluang dalam kesebelasan tipis.
“Buat masa ini, penyerang terbaik dunia masih milik Benzema dan mustahil untuk pasukan membuat pembaziran menandatangani khidmat Haaland seandainya dia tidak boleh diletakkan dalam kesebelasan utama.
“Situasi berbeza dengan Kylian Mbappe kerana semua orang tahu kita terdesak untuk mendapatkan khidmatnya memandangkan dia bukanlah pemain di posisi No.9 yang sejati seperti Haaland atau Benzema,” katanya.
Mengulas mengenai kegagalan mendapatkan Mbappe yang memilih untuk kekal bersama Paris Saint-Germain (PSG), Perez mengakui agak ralat dengan situasi tersebut memandangkan pemain antarabangsa Perancis itu sudah memberikan jaminan awal untuk sertai The Galacticos.
“Kita sudah bersetuju secara lisan dengan Mbappe tetapi dia membuat pusingan U pada saat akhir dengan memilih untuk kekal. Pasukan tiada kuasa seperti PSG yang boleh memberikan tawaran luar biasa untuk Mbappe menentukan hala tuju mereka sepanjang tempoh kontrak,” katanya. – AGENSI