SANTIAGO – Seorang perenang wanita Chile menerima pengiktirafan Guinness World Records selepas berenang sejauh 3 batu nautika (5.55 kilometer) antara Lautan Pasifik dan Atlantik di Cabo de Hornos, selatan negara itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Barbara Hernandez memecahkan rekod dunia pada Februari lalu dengan berenang sejauh satu batu nautika atau 1.85 kilometer (km) dalam masa 15 minit dan tiga saat.
Dia turut menerima anugerah Persatuan Renang Perairan Terbuka Dunia kerana menjadi orang pertama pernah berenang sejauh tiga batu nautika antara dua lautan.
“Saya teruja kerana menjadi seorang perenang adalah impian saya sejak dari kecil.
“Keluarga adalah kekuatan saya, mereka ialah orang yang paling penting dalam hidup ini. Saya ingin berkongsi pencapaian ini bersama keluarga dan mereka di luar sana bahawa kita boleh melakukan perkara yang mampu memberi kesan positif kepada orang lain.
“Ia akan mendorong kita untuk memberikan yang terbaik. Untuk kita bermimpi dan membina impian itu,” kata Hernandez.
Pakar psikologi berusia 36 tahun yang juga digelar sebagai ‘puteri duyung ais’ itu berkata, dia mahu semua rakyat Chile berasa seolah-olah pencapaian itu adalah milik mereka bersama.
Hernandez dipantau dengan rapi oleh Tentera Laut Chile semasa melakukan percubaannya. Dia tidak dibenarkan menerima bantuan, berhenti untuk berehat atau memakai sut neoprene iaitu sut selam yang memberikan perlindungan haba ketika basah. – Agensi