SANA’A, Yemen – Sebuah video tular di media sosial memaparkan sekumpulan belia berkumpul di sebuah rumah di bandar Aden, Yemen bagi meraikan perkahwinan antara dua ekor kucing, lapor laman berita Gulf News.
Video tersebut menunjukkan salah seorang belia tersebut memegang sehelai kertas menyerupai dokumen perkahwinan sambil meletakkan sebelah kaki setiap kucing dalam bekas dakwat dan mengecop dokumen itu sebagai tanda persetujuan.
Proses tersebut meniru prosedur perkahwinan dalam kalangan manusia sambil diiringi sorakan tetamu yang hadir.
Sumber memberitahu bahawa acara itu diadakan di daerah Al Mualla di Aden dan hanya tetamu yang dijemput dibenarkan hadir.
Pihak penganjur menyatakan bahawa ‘majlis perkahwinan’ itu adalah gurauan dalam usaha menggalakkan dua ekor kucing daripada spesies berbeza tersebut untuk mengawan. – Agensi