JAKARTA – Agensi data kualiti udara antarabangsa, IQAir meletakkan ibu negara Indonesia, Jakarta sebagai kawasan yang mempunyai kualiti udara paling buruk di dunia, lapor laman berita Suara semalam.
Pendedahan itu dibuat oleh IQAir menerusi laman web rasminya bagi cawangan Indonesia ketika kualiti udara mencapai indeks 160.
Menurut standard kualiti udara Amerika Syarikat (AS), indeks 151 hingga 200 adalah kategori udara sangat tidak sihat.
Kepekatan zarah halus berbahaya PM 2.5 dalam udara di Jakarta adalah 14.6 kali ganda lebih tinggi daripada piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
PM 2.5 adalah partikel debu kotor halus yang boleh memasuki saluran darah dan paru-paru manusia.
Ini adalah kali kedua Jakarta berada di kedudukan pertama dalam kategori bandar dengan udara paling kotor di dunia bagi minggu ini sahaja selepas Rabu lepas dengan capaian indeks 188.
Timbalan Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria menyatakan, peningkatan jumlah kenderaan dipercayai menjadi faktor tahap pencemaran udara berleluasa.
“Keadaan di Jakarta kembali sesak kerana kehidupan sudah kembali normal selepas dua tahun sekatan Covid-19,” kata Ahmad Riza. – Agensi