PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang bakal melanda empat negeri pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan, antara kawasan yang terlibat di Perak adalah Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Selain itu, hujan lebat serta ribut petir juga tertumpu sekitar Tanah Tinggi Cameron dan Rompin, Pahang.
“Keadaan yang sama turut berlaku di Mersing, Johor serta beberapa daerah di Sabah seperti Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat.
“Cuaca buruk tersebut dijangka berterusan sehingga pukul 5 petang nanti melibatkan kawasan-kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir setelah terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.